|
“Dalilah, sabar ya. Sekejap aje.” Erat pautan juniorku yang seorang itu di bahu ini. “Ya Allah kak, sejuknya… Dada saya…macam…nak pecah…” Aku mengangkat muka, bertentang mata dengan Kak Lily yang juga sedang menolong mengangkat Dalilah. Kak Lily mengangkat badan Ilah dari sebelah kanannya, manakala aku membantu menanggung beban beratnya dari sebelah kiri. Seorang lagi rakan Ilah turut membantu mengangkat kakinya daripada mencecah tanah. Walaupun bilangan kami bertiga, ternyata kudrat seorang perempuan tidaklah segah mana. Adakalanya terasa seperti akan terlepas pautan tetapi aku mendesak diri untuk bertahan. Kawasan kolam ini terasa besar dengan tiba-tiba. Sikit sahaja lagi Aufa…Be strong! “Sekejap ya Ilah. Kita dah nak sampai. Sekejap sahaja lagi ya dik,” pujuk Kak Lily. Wajah Dalilah yang sudah berkerut seribu menahan sakit seakan berat untukku pandang. Bagai mahu menangis riak mukanya tika itu. Tahan ya dik… “Kak…sakit…Ya Allah, sejuk sangat…” Ada rasa takut yang menyelinap ke dalam hati apabila mengenangkan kondisi Dalilah yang kerap diserang lelah. “Breathe Ilah…Tarik nafas…hembus…tarik…hembus…” Aku mencari sesuatu dari wajah Kak Lily yang tenang. Dalam kekalutan itu, aku kurang pasti sama ada ketenangan yang terpancar di wajahnya itu dibuat-buat atau tidak. Tetapi sedikit sebanyak, kekuatan itulah yang aku cari. “Inhaler dia mana, kak?” “Kak Aida tengah ambil.” Dalam termengah-mengah kami mengangkat Dalilah ke kawasan tertutup di tepi kolam, Kak Aida datang meluru ke arah kami, sambil menghulurkan inhaler kepunyaan gadis kecil itu. “Nah, cepat!” Setelah membuka penutupnya, aku menyorong alat itu ke mulut Dalilah. “Mari Ilah, sedut.” Dengan bersusah payah Ilah menyedut medicationnya itu. Tapi dia masih mengah. “Satu lagi, dik.” Sedang Ilah menyedut sekali lagi, Kak Lily menggosok belakangnya sekejap sebelum mendengar denyutan nadinya dari bahagian belakang. Matanya singgah di mataku sambil terus mengusap-usap belakang Ilah. “Laju sangat jantungnya ni.” “Sejuk, kak. Sejuk…” Tangan Dalilah kugenggam erat. Memang terasa ada penurunan suhu badannya di situ. Suaranya yang bergetar ketika bercakap membuatkanku tambah risau. Dalilah memang selalu lelah sewaktu dia menyertai program dan sudah berkali-kali juga kami menghadapi situasi ini, namun rasa gundah itu tetap berlabuh. Ya Allah, macam mana ni? “Nak bawa dia pergi klinik ke kak?” Kak Lily kembali mendengar denyut nadi Dalilah. Tiada ekspresi yang jelas di wajahnya. Sewaktu dia mendongak, pandangannya jatuh pada para peserta yang lain yang mengerumuni kami. “Yang lain-lain boleh balik ke penginapan. Pergi bersihkan diri dan sebagainya. Malam ni kita ada pengisian. Pergi bersiap, sekejap lagi dah nak masuk maghrib.” Ada di antara mereka yang kurang senang meninggalkan Dalilah sebegitu sahaja. “Tapi kak, Ilah-” “Kami ada, jangan risau. She’ll be ok. Kamu semua pergi balik dulu.” Kak Lily berpaling ke arahku. “Aufa, pergi ambilkan tuala, baju dengan tudung yang kering. Kain batik sekali, kalau boleh. Dia sejuk ni. Cepat ya, dik.” Secepat yang boleh, aku melangkah pergi daripada mereka dan bergerak menuju ke penginapan kami. Sekilas pandang, aku dapat melihat pihak muslimin sedang menangani masalah mereka sendiri- mengendalikan dua orang peserta yang hampir lemas tadi. Tapi dari kejauhan, aku tidak dapat meneka apa yang berlaku, tambahan pula dengan adanya sekumpulan manusia yang berdiri mengelilingi dua orang peserta tadi. Apa cerita Nufail? Abang Amir ok? Apabila mengenangkan Ilah yang masih semput, mungkin kerana terlalu lama berada dalam air serta telah menelam air kolam sewaktu cuba merentas ke hujung, langkahku diraih lebih pantas. Hati ini tidak putus-putus mendoakan keselamatan rakan-rakan semua… ‘Beep. Beep beep.’ Tersentak rasanya tatkala mendengar bunyi tersebut. Cepat-cepat aku mencapai telefon bimbit yang terletak di sisi katil. Aufaaaaaa…! Rindu banget sama kamu! ;-p Jangan nakal-nakal ya cuti ni. Kirim salam comel pada orang rumah, especially Afnan, hehe… Salam sayang dari Langkawi! Ada senyum yang menghiasi wajah ketika membaca SMS daripada Nurul. Bila pula lah pandai bercakap slang Indonesia pula ni…Nurul, Nurul… Rindu juga pada Nurul yang sentiasa menjadi peneman di universiti. Sekarang ini, rakanku itu tentu sedang seronok bermain air laut di Pulau Langkawi bersama keluarga. Bak kata Nurul, peluang percutian sekali setahun. Jaga diri, Nurul! ‘Beep. Beep beep.’ “Produktifnya handphone ni hari ini…” 10 minit lagi dah boleh buka pintu depan ya, Cik Aufa. Jangan make-up lama sangat :p Mataku membulat. “Awak dah nak sampai ke Am?” Bunyi hon di hadapan rumah membuatku kalut. Tudung yang telah kugosok tadi dicapai pantas. Eei budak Am ni kan… Kata sepuluh minit lagi. Tak sempat-sempat orang nak bersiap, dah tercongok dekat depan rumah main hon… “Afnan…!” Adikku yang seorang itu tidak menyahut. Entah ke mana perginya. Sudahlah kakaknya dah kalut bagai ribut ni, hilang pula her knight in shining armour. Tanpa banyak berfikir, purse dan handphone dicampakkan ke dalam sling bag berwarna krim sebelum disangkutkan ke bahu. Sampai di ruang tamu tingkat bawah, aku menyarung stokin hitam yang diletakkan di tepi tangga. ”Afnan…! Ibu? Ibu..?” Ibu menjengahkan kepalanya dari dalam dapur. “Kenapanya Aufa?” Aku sibuk membetulkan tali kasut yang tersimpul. “Aufa dah nak keluar ni, bu. Tentu Am dengan Shafiq dah lama tunggu. Afnan mana? Tadi Aufa ada panggil, tapi tak berbalas pun.” Ibu yang tadinya duduk di dalam dapur kini sudah berdiri di sebelahku, melihat-lihat di tingkap. “Tadi ibu suruh Afnan siramkan pokok. Ada di luarlah tu agaknya. Kenapa kabut sangat, Aufa? Am pun belum sampai lagi.” Terdiam aku sekejap. Belum sampai lagi? Yang hon tadi siapa? “Tadi Aufa dengar bunyi hon kereta…” kataku perlahan sambil menolak diri untuk bangun. Memang tak ada kelibat kereta rakanku yang seorang itu. Bertuah sungguh… “Yang tadi tu bunyi hon kereta orang rumah sebelah.” Ibu tersenyum kecil. “Dah lama sangat tak keluar rumah ke tak sabar nak jumpa sesiapa ni?” Tak semena-mena pipiku memerah. Ke situ pula perginya ibu ni… “Mana ada, bu… Pandailah ibu nak menyakat Aufa.” Dari ekor mata, aku ternampak Afnan yang sedang memegang hos air. Peluang untuk melarikan diri dari ‘radar’. Aku bingkas bangun dan menapak ke arah ‘kumbang’ yang seekor itu. “Aufa nak sakat Afnan pula la kalau macam ni. Afnan!” Adik lelakiku itu berpaling menghadapku apabila terdengar namanya disebut. Anak matanya mengecil sedikit sewaktu disinari cahaya matahari. “Kenapanya kak? Kot iya pun Afnan ni handsome sangat sampai tak tertahan rindu akak pada jejaka idaman Malaya ni, bawa-bawalah bersabar. There’s enough of me for everyone, no hassle.” “Perasan! If I could roll my eyes, I would have,” balasku. Tempat duduk di buaian menjadi sasaran. “Macam iya aje yang satu Malaya hendakkan dia.” Afnan tergelak kecil. Makin mengecil anak matanya yang hitam itu. “Iya… Akak je yang tak percaya.” Dia kembali menyiram pokok-pokok bunga ibu yang sedang ligat berkembang. “Kita hot stuff kat sekolah tau…” Aku tersenyum mendengar kata-katanya. Afnan…Afnan… Perlahan-lahan aku menyandarkan diri ke belakang sambil menutup mata. Bau bunga mawar hasil tangan ibu mengharum, menusuk wanginya. Ada rasa damai yang singgah di jiwa. Perasaan yang tidak akan diperolehi di mana-mana selain di sini…syurgaku di dunia. “Kak Aufa…berangan la tu!” Terbuka kelopak mataku dengan sergahan Afnan. “Tak berangan. Ni namanya menghayati keindahan alam.” Afnan merenung wajahku dengan air muka yang berkata ‘Yeah, right!’. “Konon…” “Betul…Akak rindu nak balik rumah.” “Dah besar panjang pun masih rindu nak balik ke rumah. Anak manja.” Sedapnya panggil orang anak manja. Kan dia yang anak bongsu… “Kita pula dikatanya… Awaklah anak manja.” Afnan tidak menghiraukan kata-kataku tadi. Dia terus menyiram pokok-pokok tanaman ibu. Kali ini sasarannya pada sekumpulan morning glory yang menjalar naik di pagar hadapan rumah. “Akak anak manja.” “Afnan cakap lagi sekali…akak-” Sekilas Afnan berpaling sambil mencebik keanak-anakan. “Anak. Manja.” Sekali lagi bunyi hon memintas anganku. Baru hendak memastikan pemandu kereta yang berhenti di hadapan rumahku, ada bunyi deringan yang keluar daripada telefon bimbitku. Missed call…Sah! “Cepatlah kak. Boyfriend akak dah tunggu di luar tu.” Dia masih asyik menyiram tanpa berpaling. “Ataupun kekanda mahu adinda mengiring untuk berjumpa dengan abang ipar adinda itu?” Entah pipi ini terasa hangat kerana berjemur di bawah matahari pagi ataupun kerana usikan Afnan yang selamba itu. Afnan memang tak sayang mulut ya… Cepat-cepat aku menapak ke arah Afnan dan menadah sedikit air daripada hos sebelum merenjisnya ke arah ‘jejaka idaman Malaya’ itu. Bulat mata Afnan sewaktu aku melangkah keluar ke kereta Am. “Nanti akak…!” “Siapa lagi yang ada nanti?” “Tak ada siapa sangat pun,” jawab Shafiq yang duduk di sebelah Am. Am yang sedang memandu sibuk memerhatikan simpang dan jalan. “Geng kelas kita dulu je, Aufa- Seri, Najwa, Faiz. Bukannya semua ada di sini sekarang.” “I see. Ingatkan one whole big bunch nak datang gather.” Mataku ikut membelok ke dalam simpang yang dilalui oleh Wira kelabu milik Am. Rasanya sudah tahu destinasi yang hendak dituju. “Awak apa khabar, Fiq? Family sihat?” Shafiq yang mengenakan jersi Arsenal berwarna biru tergelak. “Tak payahlah sopan sangat dengan Fiq, Aufa. Pelik bunyinya.” Aku pun turut sama tersenyum. “I’m great, thanks. Orang tengah cuti kan, sure happy. Famili pun sama. How’s everything going on for you? Study ok?” “Alhamdulillah, I’m as well as can be. Study macam tu la, bila belajar, score, bila tak, tidaklah. Takat mana kita ikhlas kerana Allah, takat itu jugalah Dia akan tolong kita – kan?” Shafiq yang mendengar kata-kataku memaniskan bibir. Dia melirik pandang sekilas pada Am yang juga sedang tersenyum kecil. “Betul kata Am. You’ve changed, Aufa.” Memang aku sedari ada kebenaran di dalam kata-kata rakanku itu. Aufa sekarang tidak lagi sepenuhnya Aufa yang dikenali Shafiq sewaktu zaman-zaman persekolahan dahulu. Dari segi luarannya, tentu sekali rakan-rakanku dapat melihat bahawa aku telah berubah. Tiada lagi T-shirt berlengan pendek ataupun kemeja-kemeja three-quarter length, sebaliknya diganti dengan stokin kaki dan tangan sebagai pelengkap busana. Tudung bawalku dahulu yang diselempangkan ke atas bahu kini digantikan dengan tudung yang lebih labuh, turun menutupi dada hingga ke abdomen. Berkat petunjuk dari Yang Esa, aku disedarkan tentang aurat seorang perempuan secara menyeluruhnya melalui pentarbiyahan di universiti. Dan sahsiah diri masih lagi cuba kuperbaiki, dengan niat untuk cuba mencontohi para serikandi Islam agar dapat mencuri sedikit kasih sayang dariNya. Syukur Allah SWT masih memberikan peluang untuk mengecap nikmat iman dan Islam. Tetapkanlah hati hambaMu ini ya Allah…Suluhkanlah jalan yang terbaik bagiku. “Is it a bad change?” “Nope. I’m fairly certain that it’s for the better. Good for you, Aufa.” Ada senyuman yang lahir ketika mendengarkan jawapannya. Terasa bertuah dengan kurniaan rakan-rakan yang memahami. Paling tidak pun, membenarkan. “Apa lagi yang Am cakap pasal Aufa ya Fiq?” “Hmm…banyak…” Mata Shafiq yang membundar menari-nari nakal. “Habislah kau, Am.” “Ha, jangan nak mengarut,” pintas Am, spontan. “Bukan boleh dibiarkan duduk sekali budak berdua ni. Nanti entah apa-apa gosip yang keluar.” “Apa pula gosip kalau dah betul…” “Shafiq, kau sayang muka yang cukup sifat tu ke tidak?” “Eleh Am. Tak main la nak threaten orang kalau sendiri yang takut nak main api.” “Kalau sayang rambut nenas tu, Fiq, baiklah diam. Nanti baru tahu api tak api.” Kulit muka ini sudah berkerut entah berapa banyak melihat kedua-dua rakanku itu bertelagah kata. Apabila disorong pandangan matanya ke kiri, aku disambut oleh wajah Shafiq yang sedang elok tergelak riang tetapi apabila melihat Am yang sudah separa ‘angin’ itu, tak dapat aku hendak membuat kesimpulannya. Basically, budak lelaki memang pelik… “Eh, tu bukan Seri ke?” Pandanganku tumpah pada seorang gadis manis yang sedang duduk menghirup air di hadapan kedai mamak yang biasa menjadi kunjungan kami sewaktu di sekolah dulu. Tapi kali terakhir aku melihat Seri, dia tidak pula bertudung… Mungkinkah…? “Ha’ah, Seri la tu. Wei Am, park kereta, cepat.” “Baik pak encik.” Alhamdulillah…Seronok rasanya melihat rakanku yang dahulunya memang free-hair kini sudah bertudung. Semoga Allah kekal memberikan petunjuk dan hidayah kepada mereka-mereka yang dikehendakiNya… Aku melangkah turun daripada kereta bersama-sama dengan Am dan Shafiq. Seri yang sedang tersenyum melambai singkat ke arah kami. Yang di sebelah Seri tu, macam Faiz… ‘Beep. Beep beep.’ MasyaAllah…Rancak pula telefon ni… Assalamualaikum. Sabahul khair! Apa khabar kawan saya yang di Johor sekarang ni? Nak ucap terima kasih kerana mengambil berat sepanjang recovery saya minggu lepas. Lain kali kena buat water-based module lagi ya ;-) Anyway, gunakanlah cuti ni sebaiknya ya Aufa. Semoga lebih hampir denganNya, Insyaallah. Take good care of yourself! :) Wassalam. Kalaulah hati ini sebuah radio, tentu sedang riang ia bernyanyi-nyanyi. Ai, jika terus begini, alamatnya tersenyumlah awak sepanjang minggu, Cik Aufa...! Sabah-ul khair ~ Good morning! Syukran buat alzun, myarasa, auntie fasha, neko+kepok (jom ke Precint 8!), jomt, pinkJambu, spiral, niza, nadya, aufa_solehah, POPO dan lain-lain kerana masih membaca =) |
| Leave a Comment: |