|
Perlahan-lahan aku melangkah ke kawasan lobi fakulti bisnes dan kajian liberal, ke arah deretan kerusi yang tidak berpenghuni, bertentangan dengan meja-meja yang digunakan sebagai kaunter bagi mana-mana kelab yang ingin membuat pengumuman. Nurul telah terlebih dahulu meminta izin untuk melangkah pergi lebih awal, ingin ke tandas katanya, sebelum meminta agar aku menunggunya di situ. Beg yang disandang di bahu kini kuletakkan di atas meja sambil badan ditolak malas ke tempat duduk. Para pelajar yang ke hulu ke hilir dengan buku-buku masing-masing sibuk meneruskan langkah menurut haluan sendiri, bertali arus meninggalkan laluan yang menyambungkan fakulti dengan kafeteria. “Mind if I sit here?” Tindakan refleks luar kawal menyebabkan aku mendongakkan muka, berlawan mata dengan senior yang telah lama tidak ditemu. Senyumannya kubalas sebelum pertanyaannya dijawab. “It’s a free country – duduklah.” Dia mengambil tempat selang satu kerusi daripadaku. “Nurul tak ada sama?” “Ada. Dia ada hal sekejap. Sekejap lagi sampailah agaknya.” Pandanganku ditalakan ke kiri dan ke kanan. Masih tiada bayang Nurul. Apa lah yang sedang menjadi penyebab delay ni agaknya… “Ada kelas ke di sini? Nowadays susah nak tengok kelibat engineering students kalau tak kerana kelas pengajian bahasa di sini.” “Pandai,” balasnya separa mengusik. “I’m taking Technical Communications.” That makes sense. “No wonder then.” Beberapa tempoh berlalu. Nufail menolak ke tepi juraian rambut yang menyinggah di kening matanya. Lembut suaranya ketika dia kembali berbicara. “Lama tak nampak awak ya Aufa.” Ada sesuatu di dalam nada suaranya yang membuatkanku tertunduk. Kala ini, hati kurang pasti mengapa sebabnya tapi mata ini agak yakin tidak dapat memandang wajahnya. Ya Allah, pimpinlah hatiku, kata-kataku serta perbuatanku… “That is why handphones were invented, don’t you think so?” Sekilas lelaki itu tersenyum sebelum mengalih pandangan kepada jam tangan di pergelangan tangannya. Sesaat dia mengangkat muka untuk mancari mataku. “Dah lama saya nak tanya soalan ni -- result macam mana? Ok?” “Alhamdulillah. Lepas target yang disasarkan, but I’m still a bit disappointed.” “Itu dah jadi fitrah manusia, Aufa. We always strive for better things in our lives, even when we already have what we want.” Dia melirik pandang kepada sekumpulan pelajar yang sedang melewati laluan tersebut. “3.50 zone?” Aku tersenyum kecil sambil menggeleng. Segan hendak melihat wajah sahabat yang sentiasa merebut kedudukan dekan setiap semester pengajian. “Close, but not quite.” Sedetik berlalu. ”I’m not as smart as you are.” “Tak baik cakap macam tu…macam berputus asa bunyinya,” tuturnya lembut. Teratur ayatnya sewaktu menyambung kata. “Kita semua ada kelebihan masing-masing. Mungkin, itu tandanya bahawa Allah lebih sayang pada awak, Aufa, lalu Dia berikan satu lagi ujian – peluang untuk membuktikan sedalam mana teguh dan percayanya kita pada kekuasaanNya. Ingat ya Aufa.” Sekali lagi aku tertunduk. Entah kenapa hati ini mudah dilunaskan oleh ucapannya. Bukannya ada kata-kata istimewa yang diluahkan, cuma… ada sesuatu yang mampu meruntun hati daripada nada suaranya yang berhikmah. Bait-bait istighfar pantas ku ulang di dalam hati. Terima kasih, Nufail... “Awak dah banyak tolong saya - syukran.” Matanya yang tadi merenung buku teks di atas meja mengecil sedikit. “Saya tak ada buat apa pun. Minggu ni musim test kan – do your best k. Lepas tu nak kena handle short weekend program pula.” Aku hanya tersenyum. “InsyaAllah. Akan diusahakan.” Beep. Beep beep beep. Beep. Sedang Nufail diam membaca mesej yang baru masuk, tanganku sendiri pantas mencapai telefon bimbit sebelum mendail nombor Nurul. Network failure? Pula dah…Nufail yang sedang mengangkat semula beg galasnya sebelum berdiri, mencari wajahku. “Nak balik dah?” “Miscomm sikit. Rupanya Luqman dah lama tunggu dekat parking lot. Ingatnya kami berjanji nak jumpa di sini. Saya kena gerak dulu. Maaf ya Aufa. Assalamualaikum.” Tidak sempat habis menjawab salam, lelaki itu telahpun hilang di celah-celah manusia yang sedang lalu lalang di kawasan itu. Nombor Nurul kemudiannya didail sekali lagi. Ke mana menghilang ni Cik Nurul…lama sungguh dia ke tandas… Alunan nada dering yang biasa kudengari berkumandang lantang di udara – hanya buat seketika sebelum talian diputuskan, memanggilku untuk menoleh ke belakang. Dengan keadaan yang sedikit kelam kabut ketika berjalan, Nurul datang menghampiriku. Sengaja aku mempamerkan riak muka yang kononnya letih menunggu, spontan sekali dibalas oleh wajah simpati rakanku yang seorang itu. Wah, wah..siap boleh tersengih-sengih lagi..! Nurul, Nurul… “Traffic jam ke dekat tandas tadi? Ingatkan awak dah tak nak balik ke sini dah.” Nurul yang masih mengenakan air muka simpatinya tergelak dengan usikanku itu. “Sorry, sorry! Lawatan ke bilik airnya sekejap saja, tapi lepas tu terjumpa Fifi. Kalau dengan Fifi tu, tau aja lah – mana boleh berborak setakat seminit dua. Ampun cik puan!” “Kot iya pun, bagilah notis pemberitahuan ke. Any kind of signal ke…tak adalah kita duduk melopong dekat sini menunggu dia.” “Ala…sorry, sorry! Lain kali tak buat lagi ya kak – ampun!” Aku tersenyum senang sebelum menarik lengannya. Kami bergerak ke arah kiri, melalui laluan koridor. “Jom. Nanti bising pula cik abang yang menunggu kita di kafe sana.” “Ya Allah…termakbul juga doa hari ni. Alhamdulillah…” Nurul yang berdiri di sebelahku sudah melemparkan jelingan maut buat tuan punya badan yang berucap. Kalau ingin mencebik sekalipun, hilang niat untuk sama-sama mencebik apabila melihat Am yang bersungguh-sungguh meraup mukanya seakan-akan selesai berdoa. Geli hati jadinya. Amboi Am, perli orang tak beragak… “Maaf, lambat sikit,” kataku sebelum duduk di bangku yang bertentangan. “Ada orang kena tahan tadi.” Am yang menangkap maksud ayatku membuat muka selamba. “Lambat sikit might be an understatement. Kalau kucing nak bertanduk pun, mesti tak jadi nak keluar tanduk.” Nurul yang mengambil tempat di sebelahku membulatkan mata. “Eh pakcik, tak sayang nyawa ya. Kalau nak Nurul tolong belikan insurans pun boleh.” “Sorrylah miss, bab-bab insurans nyawa ni saya tak main. Lagi pula di Malaysia, dah dikeluarkan fatwa - haram hukumnya untuk orang Islam. Tak tahu pula saya yang miss tak tahu.” Muka Nurul yang merah padam itu ku imbas sekilas, sambil-sambil itu aku mencuba sedaya upaya untuk menahan senyum. Am memang ada bakat untuk menaikkan tekanan darah orang dengan hanya kata-katanya. Meninggi suara pun tak perlu. Aku tersenyum. Itu baru kena sikit daripada usikan Am versi cynical. Agak-agaknya kalau sekali sekala Am hendak test-power berdebat dengan kawanku yang seorang ini, mahu berdesing telinga dibuatnya. Lelaki yang duduk menghadap kami itu menghembuskan nafas. Ada perubahan pada riak wajahnya. Reaksinya di waktu itu kudefinisikan sebagai riak muka mengalah. “Why don’t you girls go and buy something to eat. Am tunggu sini. Nurul, Am minta maaf. Cuma itu lah, Am ni tak cukup sabar kalau bab-bab menunggu orang. I’m working on it. Sorry k.” “Maaf juga, lama awak tunggu kami,” ucap Nurul perlahan sebelum bangun menemaniku untuk ke kaunter. Buat Am, aku melempar pandangan sesaat – isyarat untuk mengekalkan mode “Be nice to Nurul”. Almaklumlah, lain rakan lain hatinya. Tambahan pula bagi yang baru kita kenali, bertambah-tambah pentinglah keupayaan untuk menyesuaikan diri mengikut keadaan. "Awak marah dengan Am ke Nurul?" Nurul yang sedang tekun menulis sesuatu di atas lembaran kertas di hadapan matanya itu tidak berpaling sewaktu menjawab. "Nak marah pun tak guna, Aufa. Buat penat aje." Nada suara Nurul yang mendatar itu membuatku meragui perasaannya. Tapi air muka Nurul langsung tidak berubah dari tadi kalau hendak dijadikan penanda sekalipun. "Maaf la, Nurul. Kena ambil masa sikit agaknya nak biasakan diri dengan Am," tuturku berhati-hati, sambil-sambil mencari jawapan kepada kemusykilanku. "Dah memang habit dia dari sekolah dulu -- suka 'cakap lepas'." "Tak kisah sangatlah, Aufa." Nurul mengangkat mukanya seketika. "Part of it is my fault, anyway. Lama dia kena tunggu tengah hari tadi. Mana tak angin macam tu." Ada senyum yang terbit sewaktu mendengar kata-kata Nurul, lega kerana tiada hati yang tersinggung akibat jalinan persahabatan yang baru bermula. Perasaan risau yang menyisip apabila mengenangkan perbezaan karakter dan perwatakan kedua-dua sahabatku ditepis jauh-jauh, seiring sekalung doa yang kupohon mengharapkan barakah daripadaNya agar segala kesulitan dimudahkan. "Aufa." Aku berpaling sebentar ke belakang, memandang wajah Nurul sambil tanganku ligat membancuh hot chocolate ke dalam dua kole merah. "Hmm?" "Awak tak ada apa-apa nak cerita pada saya ke?" Muka ini sudah terasa kerutnya. "Cerita apa?" Nurul yang sudah sedia adanya tersenyum-senyum makin kelihatan gembira riaknya. "Sudah terang lagi hendak bersuluh." Ai, dah mula berperibahasa pula ni...Mesti ada apa-apa... "Apa yang dah terang, apa yang bersuluh?" "Ala awak ni. Nak mengelak pula bila ditanya." "Macam mana nak mengelak kalau saya langsung tak tahu apa yang nak dielakkan?" Ekspresi di wajah Nurul menunjukkan dia separa tidak berpuas hati dengan jawapan yang kuberi. "Apa khabar Nufail awak?" Kalau tadinya wajahku berkerut, sekarang ini tentu sudah dua kali ganda hebat kerutnya. Kole merah yang berisi air panas diletakkan di hadapan Nurul yang sedang mencerukkan diri di tengah-tengah helaian nota-nota yang berselerak. "Bila pula dah jadi Nufail saya ni?" Nurul tersenyum kecil. "Kita nampak awak berborak dengan dia tengah hari tadi, sebelum lunch." Ai, mana mungkin... "Tapi tadi masa awak datang jumpa saya, Nufail dah balik. Tak nampak pun awak berdua berselisih." Wajah Nurul yang bersahaja kutatap tidak berkelip. Senyumannya itu seakan-akan menyembunyikan sesuatu. "Bukan ke?" "Memanglah tak berselisih...sebab...saya yang mengelak daripada berselisih," balasnya nakal. "Dari jauh sebenarnya dah nampak awak dengan Nufail tengah bercakap. Tak jadi pula nak 'kacau daun'. Itu yang saya meronda sekejap tu. Kebetulan pula terjumpa Fifi, jadinya bersembanglah dengan dia sebentar.." Ya Allah ya tuhanku, bertuah punya kawan... Bulat mataku mendengar penjelasan Nurul tentang kejadian siang tadi. Entah perasaan apa yang sedang bermain di minda saat ini. "Awak ni kan..." “Tak apalah Aufa. Sekali sekala Nurul nak ‘beri laluan’. Bukannya selalu,” senyumnya. “Tak baiklah awak ni,” jawabku perlahan, langsung memikirkan kata-katanya. Minda ini sebenarnya sedang diserbu beberapa jenis perasaan yang berbeza-beza impaknya. “Benda yang tak ada, janganlah diadakan. Nanti tak elok pula bila orang lain ikut sama bercakap.” “Hmm…Betul. Tapi…pucuk yang sedang bertunas, sekiranya kena cara dijaga, tentu cantik hasilnya kan? Sayang kalau dibiarkan melata bila datangnya dari baka yang baik.” Jawapan balas yang kuterima cukup efektif untuk mengakhiri perbualan sesi kali ini. Paling tidak pun, mampu menjadi noktah bagi isu yang menerjah minda. Buat sesaat dua aku mendongak, mencari sesuatu yang tidak pasti dari riak muka seorang sahabat. Wajah Nurul pula kini sudah menghilang di sebalik buku-buku teks yang menimbun di atas meja. Kole yang panas kugenggam tanpa kata. Lamunan yang baru bercambah kucantas dengan zikrullah yang berterusan. Pada hakikatnya, hati ini amat takut pada kemungkinan yang mengalpakan. Ada rasa risau yang sentiasa membisikkan peringatan agar tidak mudah terikut-ikut dengan panggilan syaitan. Hasutan yang terbit apabila nafsu tidak lagi di dalam kawalan. “Imam Al-Ghazali pernah berpesan kepada murid-muridnya tentang satu perkara yang dianggapnya paling besar di dunia ini,” ujar Ustaz Razif, tangannya pantas mendekatkan segelas air suam ke mulut. “Boleh kamu teka apa yang Imam Ghazali maksudkan?” Mataku pantas terkatup seiring dengan istighfar yang terucap apabila terimbas kembali ceramah Ustaz Razif yang pernah dihadiri. Rasa takut pada azab Allah menyelinap ke dalam diri tatkala mengenangkan kejadian-kejadian lalu. Astaghfirullahal’azim… Selamatkanlah diriku Ya Allah, daripada terjerumus ke dalam pekerjaan yang sia-sia…Serta Kau peliharalah, Ya Allah, segala yang ada pada diriku agar tunduk dan patuh padaMu dan bukan selainMu. Sesungguhnya Kau Maha Pengasih lagi Maha Pengampun. |
| Leave a Comment: |