Entry: Episod 11 - Memori Silam Sunday, September 25, 2005





Buku yang dari tadi diselak helaiannya satu persatu diletakkan di sisi. Perlahan-lahan lafaz istighfar meniti di bibir. Jelas sungguh minda tidak dapat memberikan sepenuh perhatian kepada tugas yang sedang cuba dilaksanakan.

“Astaghfirullahal’azim…”

Nafas yang dihirup dihembus berat. Kenapa Aufa? Tidak ikhlaskah kamu saat ini sehinggakan susah sangat untuk menumpukan perhatian? Apa yang berat sangat di dalam kepala tu?

Entahlah. Nak kata tak banyak kerja, tugasan yang perlu disiapkan sebenarnya sudah makin menimbun tingginya. Tapi hati ini seakan-akan tidak cukup kekuatan untuk melunaskan tanggungjawab.

Sekali lagi lafaz istighfar diulang. Terasa berdosa menghabiskan nikmat masa yang Dia berikan sebegini. Apa nak jadi dengan awak ni Aufa…

Beep. Beep beep.


Telefon bimbit yang tersisip di birai katil dicapai.

Assalamualaikum. Dengar kata sahabat saya penuh dengan datelines ya sekarang ni. Banyak lagi projects yang belum siap? Apapun, semoga Allah memudahkan setiap urusan.


Senyum yang terbit hanya bertahan sekilas cuma. Lemah. Terasa bersyukur kerana ada sahabat yang mengambil berat. Namun entah kenapa, hatiku masih terasa berat. Semacam ada beban yang membelenggu dasar hati tika itu. Suluhlah jalan yang terbaik buatku Ya Rabb…

Beep. Beep beep.


Mesej yang tadinya hadir daripada senior di kampus itu kini berganti dengan mesej rakannya.

Aufa, how was your project presentation today? Everything ok? Anyway, hopefully all goes well for you. Habis semua kerja ni nanti, Am belanja makan k, InsyaAllah.

Makin serba salah rasa hati apabila mengetahui adanya rakan-rakan yang tak henti-henti memberikan kata-kata semangat. Istighfar yang diucapkan diulang bertali arus di dalam diam, semoga mencambahkan ketenangan yang berpanjangan.

Aufa bingkas bangun daripada katil. Niatnya untuk berwudhu’ dan menyerah diri kepada Yang Esa, menghamparkan solat sunat yang bakal disertakan dengan bacaan surah Al-Hadid -- surah yang berkali-kali diulang bacaan sewaktu hati dilanda kesedihan.

Ya Allah ya Tuhanku, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, dari rasa was-was dan keraguan. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui…


***



“Aufa, dah siap ke belum?”

Aku mendongak seketika, mencari wajah Nurul yang sedang menjenguk di balik pintu. Kain tudung yang sedang diseterika diperkemaskan bentangannya. Nurul sudah lengkap berbaju kurung ungu.

“Tinggal nak gosok tudung.” Sekilas aku menjeling ke arah jam di pergelangan tangan. “Nurul, tolong ambilkan telefon Aufa dekat atas meja makan di depan. Takut kalau tak perasan pula bila mesej masuk.”

Nurul yang kini berdiri di tepi pintu sudah mula tersenyum-senyum sendiri. “Risau sangat kalau tak dengar bunyi mesej masuk. Tak lari ke mana Am tu.”

Terasa anak mata ini mengecil sedikit mendengar komen sahabatku yang seorang ini. Tentu jelas kelihatan dahi ini yang sedang berkerut sama. “Apa sebenarnya implikasi ayat tu – boleh explain sikit tak?”

“Tak moh,” balas Nurul spontan. Ada senyum yang masih terukir di bibir, namun kepalanya menggeleng-geleng lembut. “Nanti awak kata saya buat cerita pula.”

“Ya Allah ya Tuhanku… boleh tak bagi jawapan macam tu…”

No can do, my dear. Pandai-pandailah interpret sendiri.”

Nurul yang hilang seketika dari pandangan muncul kembali dengan menghulurkan telefon bimbit yang kupinta.

“Ada satu mesej ni. Bukalah, kalau-kalau Am yang bagi.”

Huluran Nurul kucapai, tangan menekan butang sebelum mesej baru tertera.

Assalamualaikum. Awak berdua dah siap belum? Saya tunggu command je ni. Seperti kata kawan baik saya – bertindak mengikut arahan ;-) Miscall me whenever you are ready k.


Ada segaris senyuman yang terpalit di bibir apabila membaca mesej tersebut. Bertindak mengikut arahan ya…Pandai nak menyakat orang…


“Siapa yang suruh awak pandai-pandai sangat tadi?”

Am yang sedang terduduk di tepi padang bola terkesip-kesip menahan pedih apabila Shafiq menyuakan tisu yang telah dibasahkan dengan air ke bibirnya.

“Siapa yang suruh budak-budak berdua tu tak faham bahasa?”

Panas terasa hati ini bila mendengar jawapan balas tersebut. Tak nak mengaku salah pula tu…Bertuah sungguh!

“Ada saya suruh awak pergi jumpa Zack dengan Azim? Ada?”

Suaraku yang meninggi di akhir ayat sebenarnya sudah ditapis agar kurang tona kemarahan yang terzahir, tetapi rasa geram yang menyelinap di dalam diri nyata telah melumpuhkan strategi yang satu itu.

“Orang dah kata tak nak tu tak nak lah. Yang monyet dua ekor tu tak reti bahasa mengacau awak juga buat apa? Orang dah tak suka dekat dia, tak tahu malu pula!”

“Amboi, amboi... Awak ingat awak tu hebat sangat ke nak pergi cari gaduh sorang-sorang dengan senior macam tu? Budak-budak tu ada clan. Cubalah faham sikit pandai ke tak pandai akibatnya.” Kepalaku digeleng tanda tidak setuju. “Am, Am… Zack tak ada buat apa, just bagi surat dalam laci. Cuma tadi sekali aje dia dengan Azim macam mengusik-usik sikit lepas waktu sekolah. Aufa boleh handle lagi, janganlah melenting macam ni pula!”

“Baru usik-usik sikit kata awak? Pandang awak macam nak makan orang usik sikit apa namanya tu? Iyalah awak boleh handle,” balasnya dalam kemarahan. “Sampai bila nak biar kena usik macam tu? Sampai dia berani nak singkap tudung awak?”

Kalaulah hati ini diumpamakan seperti nyalaan api, tentu sedang makin marak membara setelah disiram minyak panas oleh kata-kata Am. Ikutkan rasa hati yang tak rasional, mahu saja disepak mulut lelaki itu.

Shafiq hanya menepuk bahu Am sesaat, tanda satu teguran, tapi seakan diambil endah tak endah oleh Am. Shafiq memang tidak berani mencelah kalau ada pergaduhan taraf Armageddon macam ni. Dia terus menuam sedikit demi sedikit kulit muka rakannya itu.

“Wei Fiq, perlahanlah sikit tangan tu. Sakitlah.”

“Pandai mengadu sakit,” balasku, masih lagi tidak berpuas hati dengan tindakan Am. Siapa yang suruh pergi tunjuk hero macam tu? Kan tak pasal-pasal dah lebam muka! “Tadi tak pandai pula nak guna kepala tu dulu.”

Sempat lagi Am mengomel perlahan. “Kita nak tolong dia, dia marah kita pula. Bukan nak cakap terima kasih.”

Kalau tidak kerana melihatkan Am yang sedang bersandar dengan kulit muka yang sudah mula nak membengkak di situ, mahu juga tergelak. Am, Am…memang tak makan saman.

“Awak ni degil tau. Buat apa saya nak ucap terima kasih kalau saya tak suruh pun awak pergi hambat cik abang berdua tu? Kan dah lebam- padan muka awak,” sindirku singkat.

Am hanya menjeling wajahku sekilas. Marah dengan pernyataan itu barangkali. Keluhan yang kuluahkan berbaur nada kesal. Kasihan juga melihat kawan baikku sebegitu. Aku menarik nafas dalam-dalam untuk menyejukkan hati sebelum menyambung kata.

“Am, lain kali, tolonglah Aufa – kalau nak buat dajal sekalipun, bertindak mengikut arahan. Ingat tu.”



“Ha, dah mula dah senyum senyum macam tu.”

Anak mata Nurul kutentang. Suis seterika yang tadinya terbuka ditutup sebelum peralatan yang lain disimpan kemas. “Tak ada apa-apalah. Teringat cerita lama, itu sahaja.”

“Mungkinkah cerita lama membuka lembaran yang baru di hari yang baru?”

Intonasi suara Nurul yang seolah-olah mengungkapkan persoalan yang dramatik membuatkan kami berdua sama-sama tersenyum. Ada-ada sahaja budak Nurul ni…

“Cerita lama tu biarlah kekal dalam sejarah lalu, Nurul.” Entah kenapa, ayat yang kulafazkan perlahan bunyinya. Masa silam yang menyimpan pelbagai cerita, acuan lengkap amalan-amalan jahiliyyah yang ingin dibuang jauh-jauh. Menggunung tingginya kesilapan diri pada si Dia akibat masa yang dulu…Ada rasa sedih yang mengetuk pintu hati kala itu, mengenangkan masa lampau yang takkan mampu diubah. “Aufa dah tak nak ulang kesilapan yang dulu. Tak nak dah…”

Nurul yang tadinya berdiri di birai katil kini sama-sama duduk di sebelah. Terasa bahuku dirangkul lembut, penuh kasih sayang seorang sahabat. Lembut tuturnya sewaktu berbicara.

“Aufa, tidak ada insan berdosa yang tidak mempunyai masa depan. Sama seperti itu jugalah, tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau. Masa silam itulah, baik atau buruk, yang telah membentuk diri kita sekarang. Kerana masa silam itu jugalah, kita diberi peluang untuk lebih dekat kepada Allah SWT. Dan mungkin…” Nurul berhenti seketika, mencari mataku sebelum menyambung, “masa silam itu jugalah yang mempertemukan dua sahabat yang ikhlas menyayangi keranaNya.”

Aku tersenyum mengangguk, senang dengan kata-katanya. “Mungkin.”

Your past is what makes you a stronger and a better person today. Believe that.”

“InsyaAllah.”

“Tanya sikit boleh?”

“Tanya apa?”

“Sebab ini ke yang awak asyik termenung sini termenung sana dua tiga hari ni?”

Kurang pasti bagaimana mahu dijawab pertanyaan Nurul. Masalah hati ini mungkin berpunca hasil kombinasi beberapa perkara. Perkara-perkara yang mungkin akan terungkai jawapannya bila diizinkan Allah kelak. Mungkin…

“Entahlah. Tapi tak apalah Nurul, tak elok pun melayan rasa sedih hati ini terlalu lama. Cukuplah Dia sahaja yang menjadi ubatnya,” senyumku. “Ada rezeki awak nanti, Aufa cerita ya.”

Riak wajah Nurul seolah-olah masih mahu bertanya tetapi dia tidak menekan lebih lanjut, hanya mengangguk. “Bila nak bertolak ni?”

“Nak geraklah ni. Kena miscall Am dulu.”


***



Kereta yang dipandu oleh Am membelok ke simpang kanan, perlahan-lahan mencari petanda ke arah destinasi yang dituju. Kawasan perumahan di sekitar Subang Jaya memang terkenal dengan struktur petempatan yang mencabar minda untuk dikenalpasti lokasinya.

“Biar betul rumah dia dekat USJ 16? Ke USJ 6? Awak salah tulis agaknya.”

“Mana ada salah tulis. USJ 16, betullah ni.”

“Ni USJ 6. USJ 5 dah lalu tadi…” Am yang sedang memandu sudah membawa kereta pada kelajuan minimum. “Pelik betullah susunan rumah-rumah dekat sini. Tadi USJ 5 dengan 6, kenapa tiba-tiba dekat sebelah dia terus ada USJ 9, 10 dengan 11? USJ 7 hilang ke mana?”

Nurul yang sama-sama meninjau kawasan daripada tempat duduk belakang turut mencelah. “Kot iya pun, sabar-sabarlah Am. Main pusing-pusing macam ni barulah terasa macam masuk ExploreRace.”

Am tersenyum. “Sabarlah ni. Cuma tak tahu kawasan dekat mana. Mahu lambat awak berdua sampai ke sana nanti.”

“Tak apa, bukan kaminya yang nak bertunang. Kan Aufa?”

Am sudah tergelak kecil apabila melihat aku menganggukkan kepala menyebelahi Nurul. “Ada-ada aje awak Cik Nurul. Tapi serius, putar belit betul jalan dia. Kawan awak tak ada bagi landmark or something ke?”

Helaian kertas yang dipegang di tangan kanan diimbas beberapa kali. “Macam tak ada. Tapi Dayah ada pesan, USJ 17 dengan USJ 18 masing-masing ada sekolah. Masjid pun ada dekat-dekat situ.”

Am berpaling ke arahku sebentar, ekspresi mukanya seperti dia terdengar sesuatu yang pelik. “Apa kena mengena dengan USJ 16?”

“Tak tahu,” balasku. Entah kenapa terasa serba salah pula.

“Tak tanya dia kaitan sekolah-sekolah tu dengan rumah dia?”

“Mana nak tahu jalannya sampai berputar belit macam ni…”

Am hanya mengangguk ringkas, pandangannya kembali kepada keadaan jalan raya yang bertambah sibuk. “Nurul, awak tahu jalan tak? Am tak tahu nak belok ke mana lagi dah ni.”

Nurul sedang sibuk mendail nombor di skrin telefonnya. “Sekejap, Nurul call Dayah.”

Sedang Nurul bercakap di telefon dengan Hidayah, rakan sekelas kami yang akan melangsungkan pertunangannya dalam beberapa ketika lagi, aku memandang sekilas ke arah Am. “Sorry.”

Am yang sedang memintas sebuah kereta Kancil di hadapan kami menoleh ke arahku sebentar. “Minta maaf kenapa?”

Perlahan nadaku apabila menjawab persoalannya. “No reason.”

“Am tak marahlah, Aufa. Jangan fikir yang bukan-bukan.”

“Macam marah bunyinya…Maaflah.”

“Ya Allah…saya tak marahlah awak. Tengah tension memikirkan USJ 16 dekat mana ni sebenarnya. You girls are going to be late if things go on as it is. Tak elok pula nanti.”

“Am, dekat deret kedai yang dekat depan ni, masuk kiri,” pintas Nurul seraya mematikan talian telefon bimbitnya. Tersenyum senang rakanku yang seorang itu. “Jangan risau, I think I know where USJ 16 is.

Kurang daripada 5 minit selepas itu, kami bertiga tiba di hadapan rumah Hidayah. Melangkah keluar daripada kereta, Nurul menarik lenganku ke arah destinasi kami – a corner lot house. Am menurut langkah kami berdua tidak jauh di belakang. Sebuah khemah putih didirikan di hadapan bangunan berpagar hitam itu. Ringkas.

“Assalamualaikum.”

“Wa’alaikumussalam.” Kedatangan kami disambut oleh seorang lelaki yang kukira bapa kepada Hidayah. Ramah senyumannya ketika berjabat tangan dengan Am sebelum mempersilakan kami masuk ke rumah. “Kawan Hidayah ya? Jemputlah masuk. Dia ada dekat dalam bilik. Sekejap lagi rombongan sampai.”

“Allah…terlupa pula,” tuturku, teringatkan hadiah untuk Hidayah yang tertinggal di dalam kereta.

Nurul memandangku. “Kenapa?”

“Hadiah.” Sambil menahan Nurul daripada terus berjalan, cepat-cepat aku mencari wajah Am yang sedang menapak ke arah kami. “Am, minta tolong.”

Langkahnya berhenti tak jauh dari kami. “Apa dia?”

“Tolong bawa turun chocolate yang kita beli tadi. Ada dekat seat belakang. Tolong ya, terlupa nak bawa turun tadi.”

Am mengangguk. “Masuk dalam dulu, panas dekat luar ni. I’ll pass it to you later.”

Baru beberapa langkah dari kawasan khemah menuju ke bahagian pintu utama, aku dikejutkan dengan kelibat rakan-rakan sekampus. Sedetik berbalas pandang dengan Nufail yang sedang duduk bersama-sama Abang Amir dan Luqman, terasa seakan-akan dia telah lama memerhatikan kehadiran kami bertiga. Kenapa terasa jauh sangat nak sampai ke pintu rumah ni…

“Aufa, today must be your lucky day… Nampak tak apa yang Nurul nampak?”

“Nampak,” jawabku ringkas. Subhanallah… jantung ini seolah-olah berkocak degupannya. “Marilah masuk dalam.”

“Faham, faham. Jom!”

Khittahku dipercepatkan, bimbang memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang sedang berlegar-legar di dalam minda kenalan. Istighfar yang dialun di dalam hati seiring dengan doa agar segala kemungkinan yang tidak baik akan dihindarkan sejauh mungkin. Seribu macam perasaan yang sedang bertandang tika itu, semuanya kubiarkan menjengah sekali lalu di dalam minda. Moga Allah SWT akan memudahkan segalanya…


***


clan ~ kumpulan
khittah ~ langkah

Additional TQ buat yana, ikhwan, anon, Nama, niza (ke mana niza hijrah ni? tak jumpa pun..), aufa_solehah (maaf sbb lama menunggu), Random (ending x tau ep. berapa but definitely bukan ep. 10 sbb hari ni ep. 11 dtg ;) ), salsa (stop waiting - entry 11 siap!), spiral (bila nak buat buku? entahla awak -- xde dlm perancangan pun :) ) & others for tuning in.

Selamat menyambut kehadiran Ramadhan and take care all! =)

P/s: Ada sebaris kata-kata yang Nur ambil daripada blog sahabat Nur -- afwan & syukran!

   4 comments

sha
October 26, 2005   09:37 AM PDT
 
sampai sini je?nak tau ending nye..
sha
October 26, 2005   09:35 AM PDT
 
sampai sini je ker?mane ending nye.nak tau...
honeyza
October 6, 2005   07:48 PM PDT
 
assalamualaikum kak nur...
hehe..niza telah menghibernatekan diri buat seketika..insya Allah later, kalau ade rezeki akan ada balik rumah niza..tapi wat masa nih niza invi jap..hehe..selamat berpuasa kak nur..take care :D
honeyza
October 6, 2005   07:48 PM PDT
 
assalamualaikum kak nur...
hehe..niza telah menghibernatekan diri buat seketika..insya Allah later, kalau ade rezeki akan ada balik rumah niza..tapi wat masa nih niza invi jap..hehe..selamat berpuasa kak nur..take care :D

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments