|
Katil kayu yang terletak di tengah-tengah bilik itu dibelakangi tirai beralun tona biru. Lembut, tak ubah seperti warna ombak yang menyapa pantai. Biarpun ruang di dalam bilik tersebut tidaklah seluas mana, namun bijak diatur agar tampak kemas dan teratur. Hanya ada meja solek, almari serta kerusi duduk di bucu dinding, menemani katil yang sedia ada. Sedondon kroma biru laut menyambut pandangan – halus tanpa menyesakkan. Aku dan Nurul berdiri seketika di muka pintu, memerhati suasana. Hidayah yang sedang duduk bersila mendepani kami sedang didandan oleh seorang wanita berkebaya, antara nampak dengan tidak kehadiran kami tatkala sedang disolek sebegitu. “Nurul, Aufa, masuklah tapi maaflah ya, tak dapat nak bergerak banyak sekarang ni.” Aku berbalas pandang dengan Nurul yang tersenyum sambil melangkah lebih dekat ke arah Hidayah. “Jangan risau, Dayah. Pandailah kami. Kan Aufa?” Aku tersenyum mengangguk. Sekilas wajah Hidayah kutenung. Lain sedikit wajahnya daripada biasa -- seri bakal tunangan mungkin. “Ada apa-apa lagi yang nak kami tolong ke Dayah?” “Hantaran dah siap dah. Saya ni aja yang tak siap lagi. Taufiq kata rombongannya dah on the way.” Hidayah yang telah siap didandan kemudiannya bergerak ke katil untuk mencapai pakaiannya – sepasang kurung putih berbunga perak. Cantik. “Dayah, hantarannya dekat mana ya?” “Ada dekat bilik sebelah. Nak tengok, pergilah. Yang lain-lain pun ada dekat situ.” Kami bergerak ke bilik sebelah, beberapa tapak sahaja jaraknya daripada bilik Hidayah tadi. Pintu yang sudah separa terbuka dikuak perlahan, sambil kami berdua melangkah masuk. “Panjang umur budak-budak berdua ni. Ingatkan sesat tak jumpa-jumpa jalan dah.” “Silap haribulan kalau budak-budak ni masuk highway semula ke apa tadi, selamat tak nampak bayang!” Kak Aida dan Kak Lily sudah mula rancak mengusik sambil diselangselikan oleh gelak tawa rakan-rakan kami yang lain – Sya, Lina, Wani. Kak Ana dan Kak Ira pun ada sama. Nurul terus mengambil tempat di sebelah Kak Aida, tentu tak lain tak bukan berhajat untuk bermain ‘timbal balik’. Almaklumlah, kehadiran kami tadi kan telah ‘diserang hendap’ oleh kembar berdua ini. “Kita bukan orang sini ek – ni kira pandai jugalah mencari rumah. Tapi…kalau orang yang duduk area ni pun sampai setengah jam main pusing-pusing tanpa hala, lain ceritalah ya.” Mata Kak Aida sudah membulat. “Akak tak tinggal kat kawasan ni k. Akak duduk dekat-dekat je dengan area ni, tolong sikit! Lagi satu, tak adalah pusing sampai setengah jam. Ada ke…” Sambil Nurul terus menajamkan skill komunikasi khalayaknya bersama Kak Aida, Wani pula seronok melayan Kak Lili dan Sya berborak. Si Lina pula tak habis-habis dengan kameranya – lincah jari jemarinya menangkap gambar. Langsung mataku jatuh pada deretan dulang-dulang hantaran yang tersusun di atas katil. Sesuai dengan tema bilik Hidayah sebentar tadi, setiap dulang hantaran menggunakan gabungan warna biru lembut dan perak. Pantas bilangan dulang dikira – tujuh kesemuanya. Maksudnya pihak lelaki akan memberi lima dulang hantaran. “Cantik kan?” Aku berpaling ke sisi, mengangguk seraya menyambut senyum yang dihulur Kak Ana. Gadis itu sedang memerhatikan gubahan sirih junjung yang terletak di hujung katil. “Dayah yang buat semua ni ke kak?” “Dia kata tadi hantaran ni dibuat bersama-sama dengan kakak dan emaknya. Family affair.” Untungnya begitu… “Keluarga Dayah semuanya tangan berseni, bertuah badan.” Kak Ana yang membetulkan duduk simpuhnya tersenyum kecil mendengar kata-kataku. “Aufa pun apa kurangnya. Sampai masa nanti, akak akan tengok gubahan hantaran Aufa pula.” Subhanallah…Kenyataan Kak Ana bakal menyentuh topik yang rasanya tidak ingin kubincangkan sekarang. Nope, definitely not right now. Fikiran ini boleh jadi berkecamuk andai kata benar-benar diskusi dibuka. “Wallahu’alam kak.” Wajah manisnya kutatap -- dengan sepasang kurung merah jambu seiras tudung labuhnya, Kak Ana tampak lebih manis daripada biasa. Hati jadi kurang pasti dengan deraian perasaan yang menyinggah kala ini. “Akak dah lama sampai?” “Tak adalah baru sangat. Sepuluh, lima belas minit mungkin. Aufa dan Nurul macam mana datang ke sini tadi?” Terdetik rasa bimbang saat ingin meneruskan bicara, bimbang menimbulkan prasangka yang tidak perlu. Aufa, berkatalah benar walaupun pahit… Situasi ini tidaklah pahit, Cuma, itulah… “Datang dengan kawan Aufa. Dia bawa kereta.” “Yang transfer ke sini early this semester tu ke?” Aku mengangguk. Entah kenapa tiba-tiba terasa pelik pula bercerita tentang Am. “Budak-budak ni kata dia kawan lama Aufa – iya?” Budak-budak? Budak-budak mana pula yang bercerita ni? Perihal Am selalunya hanya diberitahu kepada Nurul, itupun sebab Nurul yang rajin bertanya. “Lebih kurang begitulah kak. Kami kawan dari sekolah lagi.” Rasa risau membuatkanku cepat berbalas soalan – ingin ‘bertukar angin’. “Akak pula, datang macam mana ke sini?” “Dengan Ira dan Nufail.” Jawapan spontannya membuatku sedikit tersentak. Entah dapat dikesan atau tidak oleh Kak Ana. Riak wajahnya masih tenang seperti selalu, lembut sewaktu menyambung kata. “Yang lain-lain tu – Sya, Wani, Lina, Lily, semuanya datang satu kereta dengan Kak Aida.” Suara seorang wanita pertengahan umur yang riuh menyampaikan berita ketibaan rombongan pihak lelaki memotong setiap perbualan yang sedang berlangsung. Keriangan kanak-kanak yang sedang berlari-lari di dalam rumah berserta kekalutan pihak perempuan yang sedang bersedia untuk menerima masuk tetamu mereka menambahkan lagi kemeriahan majlis pertunangan tersebut. Saudara mara Hidayah pula bergilir-gilir membawa turun dulang-dulang hantaran untuk dipersembahkan di ruang tamu di bawah. Dan tatkala kami semua turun mengiringi Hidayah untuk diperlihatkan kepada keluarga bakal mentuanya, tetap dalam kemeriahan dan keriuhan suasana, mindaku kian terasa hangat celarunya. Di dalam ruang hati yang paling dalam, keserabutan itu dikunci seketika – saat ini, kegembiraan Hidayah perlu diiringi. Perlahan rasanya keluar masuk nafas yang dihirup dan dihembus. Lambat-lambat tanganku dibawa ke muka, meraup lembut wajah yang baru sudah sujud bermunajat kepadaNya. Sujud malamku kali ini agak lama, menghampar seribu satu rasa kepada yang paling memahami diri ini – rakan yang paling karib, sahabat yang terakrab, Rabbul ‘Izzati. Di kesunyian malam yang berlabuh, aku kekal berteleku di atas sejadah yang terbentang. Walaupun bukan niat untuk bermenung sendirian, namun seakan-akan itulah jadinya dudukku kala ini. Walaupun amalan bertahajjud begini sudah menjadi norma, namun bangunku malam ini berhajat. Gabungan rindu kepadaNya serta keinginan yang sungguh untuk mengadu pada Yang Esa. Mataku dipejam rapat, seolah-olah ingin menolak terjahan perasaan yang menyerbu qalbu. Hati ini sebenarnya keliru. Keliru, sedih, sakit, dan entah apa-apa lagi – penyakit-penyakit yang hanya mampu diubati Ilahi. Dan sesakit mana pun hati saat ini, lebih malu lagi untuk berhadapan dengan Allah SWT. Setitis air mata jatuh mengalir di pipi. Hinanya diriku di pandanganMu Ya Allah…Aku malu padaMu, malu merayu belas dan kasihMu. Malunya seorang hamba yang menitiskan air mata bukan kerana mengenangkan kekasihMu tetapi atas kelalaian hati terhadap saudaranya sendiri. Memanik jernih yang cuba ditahan gugur jua berjuraian. Lemahnya dirimu Aufa…Bagaimana boleh engkau dibangunkan sebagai ummat Muhammmad SAW kelak andai begini lakumu? Ampunilah aku, Ya Rabb…Bersihkanlah hati ini agar dapat tetap di jalanMu. Kerana sesungguhnya dalam diriku hanya terpalit kelemahan melainkan Kau yang menitipkan kekuatan. Mata yang letih kupaksa jua untuk menatap baris-baris kata yang termaktub di dalam buku teks setebal hampir dua inci itu. Entah dari mana datangnya tekanan yang memberatkan kepala waktu ini. Waktu peperiksaan pertengahan yang kian menjelang menyebabkan tumpuan kepada pelajaranku semakin berganda. Dua minggu ketekunan mampu untuk membantu mencorakkan perjalanan semester yang hanya tinggal dua bulan sahaja lagi sebelum kembali menutup tirainya. Semester hadapan bakal memberi maksud bahawa timbunan lagi kerja akan meningkat bebannya – cabaran mana-mana pelajar tahun akhir yang akan mula bergelut dengan projek serta subjek-subjek elektif pilihan masing-masing. Nada dering dari telefon bimbitku langsung memberhentikan tumpuan kepada buku yang terbuka helaiannya di atas meja. Melihatkan nama pemanggil di skrin sahaja sudah cukup untuk membuahkan seukir senyuman di bibir. “Assalamualaikum sayang.” “Eei kak, gelilah! Nak main sayang-sayang dengan kita pula dah! Kalau ada baldi depan Afnan, dah lama dah Afnan muntah tau.” Tawaku tentu jelas didengari Afnan. Seronok juga menyakat adik yang seorang ini. “Afnan memang…Kalau akak yang ucap, nak muntah aja. Kalau girlfriend Afnan yang sebut, entah-entah sudah berbalas sayangnya.” “Mana Afnan ada girlfriend la akak ni…Suka-suka hati pula tukar status orang yang single and available ni ya. Akak tu lainlah.” Buku yang tadinya terbuka ditutup perlahan. Badan yang menjerit letih selesa apabila bersua dengan permukaan lembut katilku. “Apa yang lainnya?” “Akak ni…sudah gaharu cendana pula dia.” Aku tersenyum senang. Bila pula Afnan mengambil jurusan kesusateraan Melayu ni… “Bila akak nak bawa balik and introduce abang ipar Afnan pada ibu dengan ayah? Penat dah Afnan cover line untuk akak ni.” Dari posisi berbaring sebentar tadi, aku bangkit untuk membetulkan duduk. “Apa cakap bukan-bukan ni Afnan…Tak baik tau buli akak. Akak kan baik, tak pernah buli Afnan.” Ketawa Afnan kedengaran di corong telefon. “Iyalah sangat. Kak, ibu tanya, bila akak start midterm?” “Dua minggu lagi. Ibu dengan ayah sihat?” “Alhamdulillah. Ibu tengah teman ayah makan. Akak dah dinner?” “Belum lagi, dik. Lagipun, akak tak lapar, lewat-lewat sikit nanti agaknya.” “All you girls, diet aja kerjanya,” usik Afnan. “Jangan tinggal makan tau kak. Nanti ibu bising, orang tak tahu…Akak tengah study ke ni?” “Taklah, sekarang ni kan akak tengah cakap dengan Afnan.” Ketukan di pintu membuatkanku berpaling sebentar. “Afnan, ada orang ketuk pintu rumah. I’ll talk to you later k. Belajar rajin-rajin tau – kirim salam pada ibu dengan ayah.” Telefon bimbit masih kekal di tangan waktu aku melangkah ke ruang hadapan, terus ke pintu utama. Sekilas aku menjeling kepada jam analog di pergelangan tangan – tepat sembilan malam. Nurul sedang menghadiri kelas ganti sejak sejam yang lalu dan hanya akan pulang sejam dari sekarang, seperti kebiasaannya. Siapa agaknya? “Assalamualaikum.” Dua kali ketukan lagi kedengaran di pintu. “Aufa…ada orang di rumah ke tidak ni?” Aku tersenyum -- suara seriang itu takkan pernah silap di telinga ini. Siapa lagi kalau bukan jiran sebelah rumah yang begitu suka mengusik. “Wa’alaikumussalam. Ada kak, sekejap ya.” Tombol pintu dipusing sebelum ditarik perlahan. Manis wajah Kak Lily yang sedang tersenyum-senyum di muka pintu. Senyumannya kusambut. “Tersenyum-senyum akak ni. Ingat dia comel sangatlah tu ya…” usikku. “Masuklah kak.” “Masalahnya Aufa, akak ni memang sejak lahir comel macam ni,” sakatnya kembali sambil mengikutku ke ruang tamu. “Aufa seorang sahaja ke di rumah? Nurul mana?” “Nurul ada kelas ganti ganti, kak. Pukul sepuluh nanti baru kelasnya habis.” Kak Lily yang duduk bertentangan denganku di ruang tamu sedang membetulkan posisinya. “Kak Aida tak datang sama?” “Mak ayah dia datang tadi – bawa dia keluar makan malam. Lambat lagi la baliknya tu.” Aku mengangguk faham. Kak Aida ada memberitahu tentang kebarangkalian kedua ibu bapanya turun ke ibu kota minggu lepas. “Akak tengah buat apa di rumah tadi?” “Tak ada apa sangat. Niatnya nak ulangkaji, tapi bila dah duduk seorang aja dekat rumah tu, macam tak ada semangat pula jadinya. Itu yang akak datang sini.” Tiba-tiba terdetik di minda tentang tetamu yang dilawa yang masih belum dijamu apa-apa. “Subhanallah…lupa pula Aufa.” Aku bingkas bangkit daripada dudukku. “Akak nak minum apa ya? Air panas ke air sejuk?” Kak Lily yang tadinya duduk juga mengikutku berdiri. “Eh, tak payahlah buat air, Aufa. Akak baru lepas minum sebelum datang sini. Saja aja nak cari kawan bersembang.” “Tak susahlah, kak. Bancuh air aja.” Di luar tingkap, hujan sedang merintik turun. “Hujan-hujan ni, Aufa buatkan air panas ya.” “Ya Allah budak ini…” Kak Lily yang menurut langkahku ke dapur elok melabuhkan punggungnya di atas kerusi berbingkai besi di meja makan. “Lagi kita kata tak payah, lagi dibuatnya…” Aku tersenyum sewaktu berpaling ke arahnya, tanganku mencapai dua buah kole yang tersedia di tepi sinki. Air panas sedang dijerang. “Kak, kalau nak apa-apa, ambil aja ya. Buat macam rumah sendiri.” “Tengah ambillah ni.” Kak Lily yang sedang membuka balang berisi biskut membalas senyumku. “Macam tak biasa je Aufa…” Pek-pek berisi bancuhan koko segera dikoyakkan sedikit sebelum isinya dituang ke dalam kole di hadapan mata. Bakul sampah di sudut kiri bilik kekal sebagai destinasi pek-pek koko yang kini kosong. “Aufa, akak nak tanya sikit – boleh?” Tanpa berpaling aku mengangguk. Sudu-sudu kecil yang kering kucapai sebelum diletakkan di dalam kole. Topik yang bermain di fikiran Kak Lily mungkin benar seperti kuduga, namun entah kenapa terasa lidah seakan-akan kelu untuk berbicara. “Aufa dengan Nufail sekarang, macam mana?” Rasanya adalah beberapa saat diriku terpaku disitu, kekal tidak berpaling, hanya menghembus berat nafas yang keluar. Pelantik suis cerek elektrik automatik berdetik tiba-tiba – air sudah siap dijerang. Setelah mematikan suis di dinding, aku menuang air panas ke dalam kole. Meruap-ruap asap putih, antara nampak dan tidak, apabila sudu yang kupegang mengacau perlahan bancuhan tersebut. Benar sangakaanku sebentar tadi. Perlahan-lahan aku berpaling, membawa bersama dua kole berisi koko panas. Wajah Kak Lily tidak kupandang saat kole itu kuletakkan di hadapannya. “Macam itulah, kak. Macam mana lagi. Akak nak ulangkaji subjek apa? Kalau nak, Aufa boleh teman study.” Walaupun aku tidak mendongak, memandang wajah perempuan yang kukira kakak kepadaku, aku yakin pandangannya tepat ke arahku. Untuk sesaat, aku mencari anak matanya, berlawan pandang untuk membuktikan…buktikan apa, Aufa? Kak Lily masih diam menghadapku. “Kenapa akak tengok Aufa macam tu?” “Boleh juga nak ulangkaji. Aufa teman akak kan…” Matanya yang tidak berkelip kupandang. Lain macam sahaja bunyinya…Riak wajahnya yang bersahaja selalunya membawa isi tersirat. “Subjek hati.” Entah patut atau tidak andai ada tawa yang lepas dari bibirku tika itu. “Akak ni, merepek aja.” “Subjek ni sensitif ya untuk dibincangkan…Aufa pun asyik mengelak dari akak.” Aduh kak…macam mana hendak Aufa terangkan? “Bukan mengelak kak, cuma…tak ada apa yang Aufa boleh cakapkan. Jadinya, tak ada benda untuk dicerita.” Kata-kataku seperti tidak didengari oleh Kak Lily. “Nak kata kamu bergaduh, rasanya bila akak tengok kamu sekarang, macam dah berbaik.” Air di dalam kole dikacau perlahan. “Kami tak gaduhlah, kak. Baik aja semuanya.” “Habis tu?” “Habis tu apa?” Ada keluhan kecil yang keluar yang bibir Kak Lily. Keluhan yang tidak dapat kutafsirkan maksudnya. “Aufa…” Wajah bersih Kak Lily kerenung tanpa kata. Apa yang akak nak Aufa cakap sebenarnya? “Kalau jodoh kamu memang dengan dia macam mana?” Tangan yang tadinya lembut mengacau air di dalam kole dihentikan pergerakannya. Soalan Kak Lily terasa amat berat untuk dijawab. Bagaimana hendak diberikan jawapan tentang persoalan masa hadapan yang tidak tentu hala tujunya – ungkaian peristiwa yang hanya diketahui oleh Dia semata-mata? Entah dari mana datang pula ingatan terhadap malam-malamku yang menghamparkan sujud, meminta padaNya agar rasa hati yang sia-sia dibuang jauh-jauh andai memudaratkan diri dan agamaNya. Tak putus juga dengan rantaian doa agar diberikan kesucian dan ketenangan hati. Aufa, Islam tidak akan kembali gemilang di atas impian yang tidak menguntungkan. Berhentilah membina mimpi yang akan kekal angan-angan! “Janganlah cakap macam tu, kak.” Entah Kak Lily dapat mendengar atau tidak jawapan yang ditutur dalam nada suara serendah itu. “Kasihan Nufail.” “Kasihan Nufail? Akak tak faham. Kasihan kenapa?” Redup pandangan Kak Lily menyapa apabila mata kami bertembung. Hati jadi kurang pasti sama ada pertuturan saat ini merupakan suatu kesilapan – bimbang akan menuturkan kata-kata yang akan dikesali. Namun riak muka Kak Lily yang ingin tahu pasti akan menekan sehingga bertemu yang jawapan yang diharapkan. Beberapa detik yang dingin berlalu, memberiku masa untuk membuat pertimbangan. Perlukah? “Kak, Aufa tak faham – kenapa orang semua kaitkan Aufa dengan Nufail. Kami bukan orang yang sama, kak.” Terasa minda ini berlari-lari mencari patah-patah kata yang sesuai. “Maksud Aufa, Aufa dengan Nufail…kami…” Kak Lily tidak mencelah, walaupun setelah beberapa ketika sesudah aku kehilangan kata. Sekali lagi aku mengangkat muka, mencari wajah Kak Lily. Ya Allah…patutkah lukisan hati dilakar? “Aufa, apa sebenarnya yang Aufa fikirkan? Akak tak kisah mendengar kalau Aufa sudi berkongsi.” Lembut matanya yang berlabuh di mukaku. Pelbagai rasa menerpa qalbu saat itu. Serba salah rasanya. Minda yang kompleks penuh dengan masalah sendiri dan fikiran yang terlebih menafsir akhirnya membawa kepada kata-kata yang tidak pernah terluah. Dilemaku tidak pernah surut dari minda. Astaghfirullahal’azim…apa yang sedang Kau catukan untukku ya Rabb? “Kak, Nufail bukan calang-calang orang. Latarbelakangnya elok, sahsiahnya pula baik. Selalu Aufa rasa iri hati apabila melihatnya dia berhujah perihal agama. Ada api dalam kata-katanya, kak. Nampak sahaja pendiam tapi tiba saatnya untuk mengulas hal-hal yang benar-benar penting – penindasan umat, salah faham tentang Islam, perkara-perkara dasar – dia cukup berilmu. Pendidikan agamanya, masyaAllah…” Kak Lily masih tetap memandangku. “Jadi?” Aku terdiam. Sejak kemasukanku ke universiti, Kak Lily paling hampir denganku apabila dinilai latarbelakang kami. Adakalanya dia lebih memahami keadaanku berbanding rakan-rakan yang lain. Namun begitu, hatiku masih berkira-kira. Berat. “Aufa bukan macam dia. Latarbelakang kami tak sama, kak. Nufail tu baik orangnya – seseorang yang Aufa yakin faham akan tanggungjawabnya terhadap Islam. Lawannya perlu setara – seseorang yang jauh lebih baik dari Aufa.” Sekilas wajah Kak Lily kuimbas sebelum kembali menunduk. “Aufa banyak sangat kekurangan, kak. Tak kena.” Kak Lily yang duduk bertentangan dariku melepaskan satu keluhan kecil. Entah apa yang sedang difikirkan oleh seniorku yang seorang itu. “Aufa…jangan pandang rendah pada diri sendiri. Tak baik, dik. Kita semua ada kekurangan dan kelebihan masing-masing.” Seketika bibirku diketap lembut. “Aufa faham, kak. ” Benar, setiap insan ciptaanNya ada anugerah diri, baik atau tidak. Dan rasionalnya mudah untuk diterangkan, namun hati yang mempercayai, ada halangannya yang tersendiri. Ada istighfar yang diulang di dalam hati, bimbang lintasan akal melampaui fitrah seorang hamba yang bersyukur. “Cumanya…entahlah… Mungkin fikiran Aufa ni aja yang berfikir benda-benda pelik begini. Biarkanlah kak. Tapi Aufa risau juga kalau orang kaitkan kami berdua, bimbangkan khabar-khabar angin yang tidak dikawal. Salah faham pula jadinya nanti kalau Nufail, Kak Ana atau kawan-kawan mereka dengar.” “Ana?” Aku hanya mengangguk. Terbit juga sedikit tanda tanya apabila melihat Kak Lily yang seakan-akan tersenyum kecil. Namun persoalan yang hadir di fikiran dibiarkan berlalu. Let it go… “Pasal Ana tu…hmm, tak apalah, bukan tempat akak. Tapi Aufa, jangan buat perkiraan sendiri tentang keserasian mahupun ketentuan. Kalau Dia yang merancang, hal-hal yang kita tak pernah terfikir pun mampu menjadi realiti.” Sekali lagi aku mengangguk faham. Kenyataan Kak Lily tak perlu pada ulasan. Namun soalan Kak Lily yang seterusnya tak mampu untuk kutingkah. “Kenapa gunakan masa silam yang telah berlalu untuk menidakkan masa depan yang lebih baik?” Kalau diikutkan akal yang sedang menghamburkan kata-kata refleks di minda, barangkali soalan yang diaju Kak Lily akan berjawab. Namun, belum tentu kata-kata yang ditutur cukup kuat untuk menolak panahan logikal senior yang seorang ini… Apabila aku terus diam begitu, Kak Lily tersenyum memandangku. “Ok, ok, we’ll stop discussing this.” Senyumannya kubalas. Kak Lily memang boleh membaca minda yang satu ini agaknya. “Akak ada satu rahsia nak kongsi dengan Aufa.” Dia menyambung apabila pandangan kami bersatu. “Aufa tahu tak kenapa kadang-kadang bila kita berjumpa dengan seseorang, kita terus suka pada mereka, dan bila berjumpa sesetengah orang yang lain pula, walaupun mereka tak pernah berlaku jahat pada kita, kita rasa seperti tak suka untuk dekat dengan mereka. Tahu kenapa?” Terus aku menggeleng. Kak Lily dan misteri-misterinya memang sukar untuk ditelah. “Kata para ulama’, orang-orang yang apabila mereka bertemu dan mereka suka dan senang untuk bersama, antara hati mereka ada keserasian. Hati-hati mereka ada ruh yang sama. Dan begitu jugalah sebaliknya.” Kak Lily berhenti sebentar sebelum menyambung. “Just some food for thought. For you to think about those you hold close to your heart.” Diam. Mata Kak Lily kutemu sebelum pandanganku dikalihkan ke arah lain. Ayat terakhirnya ada isi yang menarik untuk ditafsir. Mungkin sesuatu yang bakal menghuni waktu-waktu sepiku nanti. Waktu-waktu yang hanya akan dikongsi Ilahi yang Maha Mengetahui. Ayat Kak Lily masih bermain-main di fikiran -- ayat yang mengandungi seribu satu rahsia. ‘Think about those you hold close to your heart’… |
| fire extinguisher June 29, 2009 04:50 PM PDT TAK KAN DIA NAK CERITA KATIL DIA LEMBUT KE KERAS | ||
| malaysia web design June 29, 2009 12:17 PM PDT memang lembut sangat ke katil dia | ||
| afeera January 16, 2006 11:04 AM PST alhamdulillah...dpt jugak akak selesaikan mbaca enovel nur ni... sorry...i took sometime to give my comments...2 thumbs up for ur enovel...dan spatutnya dibukukan novel nur ni... terkesima sewaktu membacanya... tak sabar nak tahu cerita selanjutnya...:D | ||
| pinKjambu November 21, 2005 12:56 PM PST kakpink sian kat AUFA..tu . dear, lega bila dah update ni..heheh pas ni update cepat sikit ya..sian kami2 dok tunggu je NUR *grin* | ||
| Leave a Comment: |