|
“Aufa, tolong ambilkan dulang berisi air di dapur. Urusetia muslimin minta air untuk penceramah. Cepat ya, ceramahnya dah berlangsung separuh jalan.” Aku mengangguk faham, lantas berjalan ke kawasan penginapan urusetia muslimat. Tirai putih yang menghalang pandangan orang luar dari menjenguk ke bahagian dalam penginapan kutolak sedikit ke tepi. “Assalamualaikum.” Itu tak lain tak bukan tentu sekali urusetia muslimin. Maklumlah, mereka tidak boleh merentas masuk melebihi tanda tirai putih di luar rumah tadi. “Wa’alaikumussalam. Sekejap.” Mataku melilau ke kiri kanan, mencari bekas air yang dipinta oleh Kak Aida sebentar tadi. Di ceruk sebelah kiriku, terletak kemas gelas kaki dan sebuah jag berisi air. Ha, ada pun..! Cepat-cepat aku melangkah semula ke bahagian hadapan rumah seraya menyelak tirai di atas kepala, bimbang muslimin yang tadi memanggil menunggu terlalu lama. Dulang berisi gelas air yang ditatang di tangan dikendali dengan berhati-hati. Pandanganku masih kekal di lantai, mencari sandal yang kutanggalkan. “Slow down, Aufa. Jangan kalut sangat. Penceramah tu tak lari ke mana.” Tanpa perlu menoleh, suaranya terlebih dahulu kudengari. Entah ya atau tidak dalam sesaat itu juga nafasku seakan terhenti. Ada rasa segan yang hadir dalam diri sewaktu teringatkan kata-katanya tadi. Tidak teraturkah langkahku di hadapannya kala itu? “Maaf kalau lama awak menunggu.” Wajah Nufail yang tenang dipalit segaris senyuman, tangannya menyambut huluran dariku. Sekilas dia memandang wajahku sebelum mengalihkan pandangan. Hati yang berdetik pantas terasa diruntun rasa malu yang teramat. Panahan mata. Wahai Hawa, tundukkanlah pandanganmu apabila kau bersapa mata dengan kaum Adam… “Tak apa, saya tak kisah. Ini sahaja ke?” “Itu sahaja yang Kak Aida pesan pada saya. Unless ada benda-benda lain yang awak nak tambah.” “Rasanya tak. Saya gerak dulu ya.” Nak tanya atau tidak? Tanpa sebab, wajah Kak Ana menerpa di ruang minda. No, you don’t have to ask for her permission. You’re only talking. Make a decision, quick! “Nufail.” Baru beberapa tapak dia melangkah, dia berpaling semula ke arahku. Riak mukanya dihiasi tanda tanya. “Muka awak pucat,” ucapku perlahan. “Awak demam ke?” Tidak sempat Nufail nak menjawab pertanyaanku, dia bersin dengan tiba-tiba. Bersin yang disusuli ketawa kecil, mungkin mengenangkan ironinya keadaan itu. Baru ditanya perihal demam, sudah bersin pula tidak semena-mena. Lantas bibir ini turut sama mengukir senyum. “Don’t worry about me, Aufa. Sikit aje ni, esok-esok baiklah. But thank you for your concern.” Sekali lagi dia tersenyum sebelum berlalu pergi. Nafasku yang ditarik dihembus keluar, sambil kakiku dihayunkan ke arah rakan-rakan yang sedang mendengar ceramah di dalam surau. Walaupun banyak perkara yang membelenggu di fikiran, mindaku menolak rasional, lalu memilih untuk menghindarkan diri daripada realiti. At least for now… “Aufa, mari, ikut akak. Kita check situation untuk program petang ni.” Aku mengangkat muka dan bertemu pandang dengan Kak Lily, timbalan pengarah bagi program kendalian musim cuti ini. Sesuai dengan jawatan yang dipegangnya, Kak Lily agak sibuk sepanjang perlaksanaan program ini. Kak Aida yang menyumbang tenaga sebagai Timbalan Ketua Biro Program juga sentiasa bergerak ke hulu ke hilir untuk memastikan program dan modul yang dirancang berjalan tanpa masalah. Dan setakat ini, alhamdulillah, semuanya sedang berlangsung sepertimana yang dibuat di dalam perancangan. Esok kami akan berangkat pulang. Aku menurut langkah Kak Lily yang sedang bergerak menuju ke kolam. Kak Aida tentu sekali sedang galak melihat situasi yang sedang berlangsung di kolam air itu sekarang. Persekitaran kami yang dipenuhi kehijauan semulajadi sangat mendamaikan. Pokok kelapa, pokok durian, serta pokok buah dokong adalah antara flora yang tumbuh melata di kawasan ini, selain adanya dua kolam air yang terbiar. Udara yang dihirup sepanjang masa di sini terasa segar dan nyaman, tiada asap kenderaan yang menyesakkan dada, serta bebas dari hiruk pikuk kota. Aku tersenyum sendirian. “Kak, ini kolam ke tasik?” Mataku beralih pandang ke arah permukaan air yang berkocak tenang. Para peserta program sudah ada yang berada di dalam air, kelihatan seperti sedang berpaut kepada sesuatu. “Yang ini besarnya macam tasik, tapi rasa akak masih lagi dipanggil kolam,” balas Kak Lily, matanya jauh merenung kelibat para peserta dan urusetia yang terlibat. “Mereka paut pada apa tu, kak?” Kak Lily menetapkan langkah ke arah Kak Aida yang sedang berdiri sendirian. “Batang pisang. Water-based module ni agak menarik untuk peserta. And it would be one heck of a challenge if they don’t know how to swim. Tentu akan rasa takut bagaikan nak lemas.” Sedang Kak Lily bertukar cerita dengan Kak Aida mengenai modul kali ini, aku mengambil kesempatan untuk meninjau keadaan sekeliling. Kolam yang lebarnya seperti tapak sebuah rumah banglo kelihatan memanggil-manggil kami yang berdiri di atas tanah berpasir di sekelilingnya. Sekali pandang, kawasan kolam tersebut telah dibahagikan kepada dua kawasan, satu untuk kegunaan peserta lelaki dan sebelah lagi untuk kegiatan peserta perempuan, sesuai dengan peraturan yang tidak membenarkan percampuran antara lelaki dan perempuan. Di dalam air, keadaannya lebih kurang sama untuk peserta lelaki mahupun perempuan. Masing-masing menghamparkan dua kumpulan yang sedang berpaut pada batang pisang tersebut, dengan setiap satunya dibebani tiga orang peserta perempuan dan ditambah sehingga menjadi empat orang bagi peserta lelaki. Rakan-rakan mereka yang lain sedang menunggu giliran di atas darat. “What is exactly their task, kak?” “Rentas kolam ni, dari hujung sana sampai ke sebelah yang satu lagi,” jawab Kak Aida, tangannya menunjukkan kawasan mula dan akhir, bagaikan dari utara ke selatan jauhnya. Mataku hanya menurut depaan tangannya. Jauh juga… “Dalam kolamnya?” “Kalau jejak kaki, tak sampai ke bawah.” Dalam la tu…“Can all of them swim?” “Wallahua’lam…” Ada rasa risau yang mencelah ketika aku mendengar jawapan Kak Aida. Macam mana kalau…- Kak Aida bagaikan mendengar bisik hati ini. “Ada urusetia yang selia. Muslimin dekat sana tu, ada lima orang. I’m sure that all five of them are able to swim.” Pandanganku beralih pada sekumpulan urusetia yang berkumpul di checkpoint akhir di hujung kolam, termasuklah Abang Amir dan Nufail yang sedang berdiri memerhatikan kumpulan peserta lelaki yang telah merentas dua pertiga kawasan kolam tersebut. Luqman pula sudah siap berada di dalam bot kecil, mendayung perlahan bersama-sama seorang lagi urusetia di tengah-tengah air, barangkali memerhatikan keselamatan peserta perempuan yang baru separuh jalan menguak air. Waktu itu jugalah aku dapat melihat bot kendalian Luqman bergerak ke arah kami, menyebabkan kami bertiga bertukar pandangan. “Saya rasa elok kalau urusetia muslimat sendiri yang mengawal keadaan peserta muslimat,” ujar Luqman apabila dia menghampiri darat, sambil membantu rakannya untuk keluar dari bot tersebut. “Boleh kan, kak?” Dayung yang dipegang Luqman dihulurkan kepada Kak Aida. “Ok. Tapi kami semua ni bukannya pandai sangat nak kemudi bot tu.” “Lebih kurang sama je macam berkayak, kak. Nanti saya akan masuk semula dalam air kalau akak betul-betul rasa tak selesa.” Kak Aida dan Kak Lily sudah menginjak masuk ke dalam bot tersebut. Mereka mencari wajahku. “Aufa, tak nak naik sama?” Aku menggeleng perlahan. “Aufa tak tahu berenang, kak. Safety jacket tu pula ada dua sahaja. It’s ok, I can wait here.” Luqman dan rakannya telahpun menjejakkan kaki ke darat, sama-sama melihat Kak Lily dan Kak Aida mendayung perlahan ke tengah kolam. Dari jauh, aku dapat melihat satu kumpulan peserta lelaki yang sedang menghadapi masalah dengan modul petang itu. Batang pisang yang dipaut oleh mereka seakan-akan berbolak balik. Ada peserta yang sedang kalut semasa berpaut, sebelah tangannya mengocak-ngocak air dengan panik. Tangan kanannya yang sedang berpaut tampak licin, kepalanya pula menggeleng-geleng lemah. Ya Allah, kenapa pula tu? “Tolong…! Tolong…!” Peserta yang kuperhatikan baru sekejap tadi kini hanya tinggal sebelah tangan di atas paras air. Beberapa kocakan air yang kecil memecah ketenangan permukaan apabila kulihat tangannya menghentam air tanpa arah. Ada rakan sekumpulannya yang melepaskan pautan pada batang pisang tersebut sambil berenang ke arahnya, tetapi gerakannya nampak lemah, mungkin kerana penat merentas kolam yang luas. “Tolong…!” Ya Allah, kau lindungilah hamba-hambaMu dan kau berilah pertolongan. Hanya Engkau sahaja yang mampu mengatasi segala-galanya… Dalam keriuhan dan jeritan peserta yang meminta tolong, Nufail terus terjun ke dalam kolam, disusuli oleh Abang Amir. Luqman dan rakannya yang tadinya berdiri berhampiran denganku berlari terkocoh-kocoh mengelilingi kawasan kolam untuk sampai kepada rakan-rakan mereka yang sudahpun di dalam air. Terlalu jauh untuk mereka berenang terus kepada para peserta dengan keluasan kolam sebegitu rupa. Saat itu jugalah, diriku terasa amat kerdil. Hanya mampu melihat tetapi tiada daya untuk bertindak. Hanya himpunan doa di dalam hati yang mampu ditutur, semoga semuanya berakhir dengan sebaik-baik peristiwa. Tangan peserta yang meminta tolong tadi antara nampak dengan tidak, dan rakannya yang melepaskan pautan sekarang sudah semakin lemah renangannya. Begitu lemah sehingga dia kelihatan seperti tidak berenang pun. Dari jauh aku masih dapat melihat dirinya yang tercungap-cungap dan terbatuk-batuk kerana tertelan air yang banyak. Hati ini turun naik denyutannya. Kau selamatkanlah mereka, Ya Rabb… “Aufa!” Aku menoleh ke arah suara yang memanggil. Kak Lily. “Suruh muslimat keluar dari air,” suara Kak Lily yang meninggi menerjah telinga. “Arahkan yang boleh berenang untuk tolong kawan-kawan mereka balik semula ke darat.” Aku mengangguk. Pantas aku mengorak langkah ke arah para peserta muslimat dan mengarahkan mereka untuk naik ke darat. Nasib baik mereka baru sahaja bergerak kurang dari satu pertiga kawasan kolam, oleh itu tidaklah begitu jauh untuk dibantu. Ada di antara mereka tadinya tinggal di darat kini turun ke dalam air untuk membantu menolak batang-batang pisang yang menampung berat peserta-peserta yang lain. Kak Aida dan Kak Lily juga turut sama membantu dengan mengangkut beberapa orang peserta ke dalam bot bagi mempercepatkan proses. Sekilas pandang, aku dapat melihat Abang Amir menarik peserta yang telahpun lenyap kepalanya daripada permukaan air, dibantu oleh seorang lagi urusetia yang lain. Nufail pula sedang berenang pergi mendapatkan peserta yang paling hampir dengannya, iaitu yang melepaskan pautan tadi. Lekas-lekas dia meraup muka sebelum memautkan lengannya pada leher peserta tersebut. Dan sewaktu dia bergerak balik ke tepi bersama peserta tersebut, ada bunyi-bunyi batuk yang keluar dari bibirnya, dan tika itu jugalah aku teringatkan keadaan Nufail sendiri yang sedang demam. Yang menyelamat serta yang diselamatkan kedua-duanya nampak tercungap-cungap keletihan. Entah buat ke berapa kalinya hari ini, hatiku berdegup kencang lagi. Rasa risau yang bertandang seperti tidak mahu pergi. Permudahkanlah Ya Allah, jangan Kau sulitkan… |
| kepok April 20, 2005 12:10 AM PDT kat putrajaya ni,cantik betul airnya...mesti best dapat berkayak kan kt sana??jgn tengahari terik udah ler... *senyum simpul* dah penat2 nnt,leh singgah ke presint 8 mkn ABC yg famous tu :p | ||
| pinkJambu April 19, 2005 10:41 PM PDT leganya NUR tak sesat..hehe. sian NUR, bila dah start menulis nih maka makin ramai la yg menagih cerita..tapi menulis pun terapi mindakan. apa sebenarnya ya di hati Nufail tu??? | ||
| neko April 19, 2005 06:56 PM PDT hemmm..btg pisang?nnti leh la buat modul tu kat tasik ilmu ek..mukekes ;p | ||
| alzun April 19, 2005 04:26 PM PDT :-) assalamualaikum..lama bercuti yerrrr......takperlaa..asal aufa xilang gitu jerkkk... hari ni tak sia2 singgah petang ket n3 ni...akhirnya rindu bersambut!hehehehe... k..jgn lama2 simpan aufa & nufail tu..:-) | ||
| Leave a Comment: |